Showing posts with label pemilihan umno. Show all posts
Showing posts with label pemilihan umno. Show all posts

Friday, 20 September 2013

DS NAJIB XBENARKAN JAWATAN PRESIDEN DIPERTANDINGKAN????

UMNO Bertambah Kukuh Tiada Pertandingan Jawatan Tertinggi

Jika pilihanraya yang lepas dikatakan sebagai ‘ibu segala pilihanraya’, maka pemilihan UMNO kali ini pula dikatakan sebagai ‘ibu segala pemilihan UMNO’. Ini kerana UMNO dikatakan berada dalam keadaan yang lemah dan kehilangan punca walaupun telah berjaya menambah kerusi pada PRU yang lalu.

UMNO pada hari ini dikatakan berada dalam keadaan dilemma dalam mencari jati diri. Sebahagian dari kepimpinan di peringkat tinggi dilihat mempunyai ‘idea’ yang berbeza dengan penyokong-penyokong dan juga ahli dari akar umbi berkenaan hala tuju UMNO.

Secara dasarnya, ahli-ahli dan penyokong UMNO berpegang teguh kepada semangat asal penubuhannya iaitu dengan berpasak kepada perjuangan agama, bangsa dan negara. Ini bermakna UMNO wajib memperjuangkan pemerkasaan Melayu, dengan berdiri teguh atas keperibadian Melayu dan agama Islam.

Hanya kerana ingin memajukan diri, UMNO tidak harus menukar hala tujunya atau keperibadiannya. Apa yang UMNO perlu lakukan adalah menukar cara pemikiran agar lebih berdaya saing dan berdaya maju dengan memperbetulkan apa yang salah serta memperbaiki segala kelemahan.

Namun, kebanyakan pemimpin UMNO dikhuatiri tidak memahami hasrat akar umbi. Lebih teruk lagi apabila mereka turut memandang rendah dan memperlekehkan semangat UMNO yang asal. Kononnya ‘kemelayuan’ itu adalah kelemahan dan kerana itu UMNO tidak boleh terlalu Melayu lagi. Apa yang pemimpin sebegini terlepas pandang ialah tatkala pemimpin UMNO menggadai Melayu, kaum lain terus berjuang memperkasakan jatidiri bangsa masing-masing. Akibatnya, orang Melayu berada dalam kerugian serta mengalami ancaman ‘hilang di dunia’.

Justeru itu, pemilihan UMNO yang bakal menjelang ini dilihat sebagai pertembungan antara pemimpin yang membawa roh asal UMNO dengan pemimpin yang telah tersasar jauh dari perjuangan UMNO. Biarpun semuanya memakai nama UMNO dan berpakaian UMNO tetapi beberapa tindakan dan kenyataan sebahagian mereka sebelum ini telah memperlihatkan suara liberalis yang lebih mirip kepada pembangkang.

Mungkin sukar untuk diakui tetapi hakikatnya, UMNO sedang merekah, meretak dan menunggu masa untuk pecah berkecai.

Dalam keadaan ini, kepimpinan perlu berhati-hati dalam mengambil apa saja keputusan untuk memastikan UMNO kekal kuat. Walaupun pertandingan bagi semua jawatan adalah perlu untuk memulihkan UMNO agar kembali menepati harapan dan jangkaan akar umbi tetapi hakikatnya, pertandingan juga mampu memecahbelahkan parti yang telah sedia retak ini.

Mungkin menyedari hakikat ini, maka Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO, dikatakan tidak akan mencabar Presiden.

Jika benar, ini mungkin merupakan satu keputusan yang amat bijak, sekali gus menggambarkan kematangan dan ketokohan Tan Sri Muhyiddin. Biarlah semua jawatan lain dipertandingkan, tetapi bukan jawatan tertinggi bagi mengelakkan berlakunya taufan yang bukan saja mampu menyebabkan UMNO hancur tetapi juga mampu meletakkan negara dalam keadaan tidak menentu.

Tan Sri Muhyiddin tentunya seorang tokoh UMNO tulin kerana sentiasa melakukan apa yang terbaik untuk UMNO tanpa memikirkan kesan terhadap dirinya. Tiada siapa yang boleh lupa bagaimana beliau bertindak tegas meminta Tun Abdullah melepaskan jawatan apabila bekas Perdana Menteri itu dilihat sebagai tidak lagi mampu memandu UMNO di atas landasannya yang betul.

Walaupun Tan Sri Muhyiddin boleh saja ‘mencuba nasib’ mencabar Dato’ Seri Najib tetapi beliau cukup faham bahawa dalam keadaan sekarang, tindakan ‘cuba-cuba’ bukanlah sesuatu yang bijak untuk dilakukan.

Sesungguhnya, walaupun sokongan kepada Dato’ Seri Najib dikatakan cukup kukuh dan tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan jawatan walaupun ia dipertandingkan, tetapi UMNO dan negara tidak mampu mengambil sebarang risiko.

Oleh yang demikian, kita rakyat Malaysia harus bersyukur kerana masih mempunyai pemimpin yang tidak tergila-gilakan jawatan serta sanggup melepaskan peluang demi memastikan parti dan negara berada dalam keadaan terkawal. Kita percaya sebahagian besar ahli-ahli UMNO menghargai pengorbanan Tan Sri Muhyiddin dan turut berkongsi semangat yang sama dengan beliau. Bagi memastikan pengorbanannya tidak sia-sia, UMNO wajib membuat pilihan yang tepat dalam pemilihan nanti.

Sekiranya ini berjaya dilakukan, maka kita semakin optimis yang UMNO bakal menambah sekurang-kurangnya 10 kerusi lagi dalam PRU-14 nanti.

KU LI MAHU BERTANDING JAWATAN PRESIDEN????

Ku Li Elok Bertanding Majlis Tertinggi

Tengku Razaleigh Hamzah, atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li secara terbuka mengakui bahawa beliau masih mempunyai hasrat untuk bertanding dalam Pemilihan UMNO kali ini. Sebagai seorang veteran dan berjasa pula, ramai yang melihat satu-satunya jawatan yang sesuai wajar ditandinginya ialah jawatan tertinggi.

Namun, begitu Ku Li menafikan ingin bertanding jawatan tertinggi tetapi tidak keberatan bertanding jawatan yang lebih rendah.

Kenyataan Ku Li ini dilihat sebagai cerminan kematangan orang lama yang tidak terbawa-bawa dengan kerakusan untuk berkuasa tetapi berpijak di bumi nyata. Dengan usia yang mencecah 76 tahun, pastinya berebut kuasa bukanlah perkara mengujakan bagi Ku Li. Lagipun, UMNO tidak memerlukan pertandingan sengit yang mampu memecahbelahkan parti pada dan ketika ini. Apatah lagi dalam keadaan UMNO amat memerlukan tenaga muda dan segar untuk kekal relevan dalam arus politik semasa.

Walaupun tenaga muda itu penting bagi UMNO, parti ini turut memerlukan semangat dan kematangan orang-orang lama. Pengalaman orang-orang lama terlalu berharga untuk diketepikan seratus peratus. Justeru, minat Ku Li untuk terus berkhidmat di dalam UMNO dan bertanding dalam pemilihan tidak harus dipandang sinis.

Memandangkan penggal ini dilihat sebagai penggal terakhir untuk Ku Li bertanding, maka inilah disarankan agar Ku Li bertanding Majlis Tertinggi UMNO yang mana dilihat lebih sesuai untuknya. Dengan cara ini, UMNO akan berpeluang mendengar pendapat dan nasihat orang lama yang pastinya berguna untuk dijadikan panduan.

Kekuatan Ku Li bukanlah calang-calang. Beliau telah menyandang jawatan Ketua Bahagian Gua Musang sejak 1962 iaitu selama 51 tahun. Ini sekali gus menunjukkan bahawa beliau semestinya seorang pemimpin yang berkesan bagi rakyat kawasannya. Sekiranya beliau berada dalam MT UMNO, maka kekuatan dan keberkesanan kepimpinan beliau tentu sekali boleh dimanfaatkan oleh semua.

Bagaimanapun, terpulanglah kepada Ku Li untuk menentukan langkah seterusnya. Apa yang pasti, barisan kepimpinan UMNO cukup terbuka untuk menerima cabaran dari sesiapa sahaja.