Saturday 2 March 2013

JENAZAH DUA ANGGOTA KOMANDO DITERBANGKAN DARI LAPANGAN TERBANG TAWAU



Lahad Datu, 2 Mac - Jenazah dua anggota komando polis komando VAT 69 yang terkorban semalam dalam insiden tembakan membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo di sini diterbangkan ke ibu negara awal hari ini. 

Penerbangan itu pada asalnya dijadual tiba lewat malam tadi. Jenazah kedua-dua anggota itu diterbangkan ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dari Lapangan Terbang Tawau pada pukul 7.55 pagi dengan pesawat Charlie.

Anggota yang terkorban dari Kem Ulu Kinta itu ialah Insp Zulkifli Mamat, 29, dan Kpl Sabarudin Daud, 46. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam TUDM Mejar Kamarulzaman Ali memberitahu Bernama, jenazah Zulkifli akan diterbangkan ke Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak, Kelantan untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu.

Jenazah Zulkifli yang akan diterbangkan dengan menaiki pesawat CN235 dari Subang akan diiringi balunya, Noraziah Noor dan dua anak lelaki, katanya.

Sementara jenazah Sabarudin pula akan dikebumikan di kampungnya di Sungai Lias, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. Allahyarham meninggalkan balu, Nurunisa Abu Bakar dan tiga anak (dua lelaki dan seorang perempuan).

Jenazah kedua-dua anggota polis komando itu disembahyangkan di Masjid Batalion 17 Pasukan Gerakan Am di sini lewat malam tadi sebelum diterbangkan ke Subang. Dalam kejadian tembakan semalam, tiga anggota komando turut cedera iaitu Kpl Mohd Tarmizi Hashim, 32, Kpl Azman Ampong, 39, dan Konstabel Mohamad Qaiyum'aiqal Zolkifli, 22


SUMBER:BERNAMA

No comments:

Post a Comment