GAMBAR HIASAN TAPI YANG BETUL
PASIR
 MAS 1 April - Sebanyak 70 anggota Pas yang terdiri daripada guru dan 
pelajar sebuah sekolah pondok di sini, malam tadi mengisytiharkan mereka
 keluar daripada parti itu dan menyertai Umno sebagai wadah perjuangan.
 
 Bagi mereka tiada parti lain selain UMNO yang mampu memartabatkan sinar
 Islam selepas Pas gagal berbuat demikian sejak memerintah Kelantan pada
 1990.
 
 Selain itu bagi mereka 
lagi terlalu banyak janji palsu yang ditaburkan pemimpin Pas dan selama 
itu mereka melihat jasa kerajaan Pusat dalam menyalurkan bantuan kepada 
rakyat benar-benar telah menambat hati.
 
 Wakil guru dan pelajar 
pondok di Tal Tujuh di sini, Mohd Zaidi Shafie berkata budi UMNO dan 
kerajaan pusat dalam memartabatkan sinar Islam dan membantu rakyat telah
 menyebabkan mereka bertukar fikiran untuk keluar daripada Pas.
 
 "Memang betul saya pengikut setia Tok Guru Nik Aziz (Mursyidul Am Pas, 
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan selalu mengikut programnya. Apabila 
saya membuat perbandingan akhirnya kami sepakat Pas tidak boleh membela 
nasib kami dan tidak mampu memartabatkan Islam.
 
 "Jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat besar terutama pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia dan banyak lagi.
 
 "Ini telah membuka hati kami para guru dan pelajar pondok di sini dan 
kami yakin UMNO boleh membawa negara, bangsa dan agama ke tempat yang 
selayaknya," katanya pada majlis penyerahan borang keanggotaan UMNO 
kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat di Kampung 
Hutan Chengal, Tendong di sini malam tadi.
 
 Mohd Zaidi berkata lebih menyedihkan Pas hanya pandai menabur janji namun tidak pernah ditunaikan demi rakyat di Kelantan.
 
 Sementara itu Hanafi berkata keikhlasan guru dan pelajar pondok itu 
untuk menyertai UMNO bukan dipaksa oleh mana-mana pihak tetapi lahir 
daripada kehendak mereka sendiri.
 
 "Saya jangka lebih ramai anggota Pas akan keluar parti dan menyertai UMNO.
 
 Penyertaan guru dan pelajar sekolah pondok ini diharap dapat membuka 
mata anggota Pas untuk sama-sama berjuang dalam UMNO," katanya. - 
BERNAMA
 
No comments:
Post a Comment