Tuesday 23 September 2014

SHAMSUL ISKANDAR TIBAI PRESIDEN PAS????


TINDAKAN PRESIDEN PAS AMAT KETERLALUAN


Tindakan Presiden PAS, Hadi Awang menyerang PKR dengan label "barua" dan "broker" berkenaan isu Menteri Besar Selangor dalam ucapan Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS ke-60 dan mengutuk "Langkah Kajang" yang dibuat oleh Rafizi Ramli (PKR) amat keterlaluan.

Ianya tidak mencerminkan peribadi dan akhlak Hadi Awang sebagai seorang yang layak digelar pengikut PAS sebagai ULAMA.
Tindakan Hadi Awang yang menggelar dua ADUN PAS iaitu YB Saari Sungib (ADUN Hulu Kelang) dan YB Hasnul Baharuddin (ADUN Morib) sebagai "barua" dan dibeli oleh PKR seolah-olah mengiyakan kata pepatah Melayu kepada pimpinan PAS, "ibarat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri".

Presiden PAS harus sedar bahawa kemenangan Pakatan Rakyat (PKR, DAP, PAS) yang berjaya mempertahankan Kerajaan Negeri di Selangor dan Kelantan dalam pilihanraya lepas banyak digerakkan oleh idea dan strategi PKR yang diketuai oleh Saudara Rafizi Ramli berbanding pimpinan PAS yang masih menggunakan taktik dan strategi lapuk.

PAS tidak mungkin dapat mempertahankan Kerajaan Negeri Kelantan dan memenangi 15 kerusi DUN di Selangor dalam pilihanraya lepas jika bersendirian tanpa PKR dan DAP melalui pertolongan Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang banyak memainkan peranannya.

Dalam isu Menteri Besar Selangor, Hadi Awang sebagai Presiden PAS harus akur kepada keputusan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan bahawa kerusi Menteri Besar adalah milik PKR dan bukannya milik PAS.

PAS harus belajar untuk berterima kasih kepada pengorbanan PKR yang memberi laluan kepada calon PAS dalam Pilihanraya Kecil Pengkalan Kubor walaupun hakikatnya kerusi tersebut adalah milik PKR.

Begitu juga dalam isu Menteri Besar Perak dalam PRU ke-12 yang lalu apabila PKR melakukan pengorbanan besar bersetuju untuk melantik Menteri Besar Perak daripada PAS walaupun ketika itu kerusi PKR jauh lebih banyak berbanding PAS.


Hingga saat ini PKR tetap bertegas dengan keputusan bahawa hanya Datin Seri Wan Azizah, Presiden PKR sahaja yang dicalonkan Menteri Besar Selangor yang baru.


PKR menasihati Hadi Awang dan pimpinan PAS agar berhati-hati membuat kenyataan demi menjaga keutuhan Pakatan Rakyat. PKR juga mengalu-alukan sesiapa daripada parti PAS, PKR atau DAP yang tidak selari dengan perancangan dan kehendak Ketua Umum PKR supaya boleh meninggalkan Pakatan Rakyat segera!


Shamsul Iskandar Mat Akim
Naib Presiden PKR 
merangkap
Ahli Parlimen PKR Melaka
(bekas Ketua AMK PKR -
menyertai PKR sewaktu zaman Reformasi hingga sekarang)

**Artikel ini disiarkan dlm akhbar Sinar Harian edisi Selangor/KL, Isnin, 22hb September 2014, ms. 12 ‪#‎grp‬

No comments:

Post a Comment