Saturday, 23 March 2013

GEMPAR...PKR BAKAL DI "KAMBUS"????




PARTI Keadilan Rakyat (PKR) sememangnya sebuah parti yang 'aneh'. Ia ditubuhkan bukan atas dasar perjuangan tetapi lahir berikutan perasaan tidak puas hati, marah dan kebencian berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan UMNO pada tahun 1998.

Sejak tarikh berkenaan arena politik negara tidak lagi tertumpu kepada DAP atau Pas, biar pun kedua-dua parti itu jauh lebih berusia.

Percaturan politik pembangkang lebih berkisar kepada apa yang dirancang oleh PKR manakala DAP dan Pas akan bersetuju sahaja memandangkan mereka mempunyai hasrat yang sama iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ketika DAP dan Pas dilihat menjalin kerjasama yang cukup aneh berikutan perbezaan ideologi antara mereka, perjalanan politik PKR pula cukup 'aneh' tetapi penuh kepincangan. Berikut penulis paparkan antara 'keanehan' dan kepincangan tersebut:

Paling berkuasa bukan Presiden

l Semua orang tahu biar pun Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail adalah Presiden namun beliau seolah-olah tidak ada apa-apa kuasa.

Segala-galanya diuruskan oleh suaminya, Anwar. Apa juga isu berkaitan PKR amat sukar sekali kita hendak mendengar Wan Azizah memberikan ulasan atau membuat kenyataan. Beliau hanya tampil jika ada isu melibatkan suaminya.

Berikutan itu, orang ramai tidak pernah melihat Wan Azizah mempunyai apa-apa kekuatan atau kelebihan. Apa yang mereka tahu, Wan Azizah hanya sekadar Presiden dalam catatan sebuah organisasi dan pernah melakukan pengorbanan terbesar dalam karier politiknya apabila meletakkan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding.

Sikap Wan Azizah inilah yang memungkinkan muncul desakan supaya beliau mengundur diri secara terhormat.

Berjaya menanam politik kebencian

l Ini boleh dianggap kejayaan terbesar bagi PKR kerana pemimpin-pemimpin mampu memainkan peranan untuk menanam kebencian rakyat kepada kerajaan BN.

Apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan BN diperlekeh dan dipersendakan. Tidak pernah sekali pun kita mendengar PKR memuji usaha-usaha kerajaan BN. Sebaliknya, apa kita sering dengar setiap usaha itu akan diperlekehkan dan kononnya mereka boleh melakukan lebih baik lagi.

Lebih hebat mereka juga sering mendakwa apa yang dilakukan oleh BN menciplak idea mereka.

Parti pertama di Malaysia tiga beranak memegang jawatan penting dalam parti

l Ini juga satu keunikan, selain si bapa, Anwar menjadi Penasihat, si ibu, Wan Azizah menjadi Presiden, si anak pula, Nurul Izzah menjadi Naib Presiden. Jika keadaan ini berlaku dalam UMNO sudah pasti, parti itu akan diserang habis-habisan oleh pembangkang atas alasan mengamalkan nepotisme dan kronisme.

Masih kekal berpolitik, biar pun dikaitkan dengan kontroversi

l Walaupun isu melibatkan pemimpinnya mencetuskan polemik ada antara melibatkan soal moral. Namun pemimpin-pemimpin PKR bijak mempertahankan diri. Mereka begitu tegas menyatakan tidak bersalah dan apa yang berlaku ke atas mereka adalah konspirasi dan fitnah UMNO serta media arus perdana.

Berjaya mempengaruhi Pas untuk menjadi 'pak turut'

l Inilah kehebatan PKR. Biar pun Pas ditubuhkan sejak 1951 dan mempunyai rekod politik yang agak hebat namun parti yang suatu ketika memperjuangkan negara Islam itu 'tunduk' kepada pengaruh politik PKR.

Pemimpin-pemimpin PKR berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin Pas termasuk dalam kalangan ulama untuk mengikut rentak politik mereka sehingga Pas dilihat sanggup mengorbankan hatta prinsip perjuangannya semata-mata termakan janji berkuasa bersama PKR dan DAP.

Malahan PKR juga berjaya memainkan peranan sehingga memungkinkan Pas yang suatu ketika dahulu menuduh UMNO kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC, bersedia berpeluk erat dengan DAP.

Walaupun pemimpin-pemimpin DAP secara tegas menolak perjuangan negara Islam dan hukum hudud, namun PKR mampu memujuk Pas untuk bertolak-ansur dalam soal itu. Akhirnya Pas mengorbankan perjuangan negara Islam dan mengubah kepada negara berkebajikan.

Paling ramai pemimpin kanan keluar

l PKR juga mencatatkan sejarah sebagai sebuah parti yang paling ramai pemimpin-pemimpin kanannya keluar parti.

Pemimpin-pemimpin bukan ahli biasa tetapi sebahagian besar adalah kelompok yang bertanggungjawab memperjuangkan Anwar dan menubuhkan PKR.

Mereka ini juga bersedia menentang habis-habisan kerajaan BN dan UMNO suatu ketika dulu semata-mata untuk mencapai matlamat politik PKR.

Namun akhirnya dari semasa ke semasa, bukan kata pemimpin malahan wakil rakyat PKR juga turut meninggalkan parti itu selepas mendapati pelbagai kepincangan dalam parti berkenaan.

Mengajar rakyat demonstrasi jalanan

l Sebelum tahun 1998, demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia. Bagaimanapun bermula pada tahun tersebut, demonstrasi jalanan seolah-olah menjadi 'senjata' baru kepada pembangkang yang diketuai oleh PKR.

Dari semasa ke semasa sehinggalah ke hari ini, pembangkang menjadikan pendekatan itu untuk membuat tuntutan mereka. Apa yang anehnya, DAP dan Pas berjaya dipengaruhi oleh PKR untuk turut serta biar pun mereka mengetahui kesan buruknya.

Kerajaan negeri pertama disaman kerana tak tunai janji

l Kerajaan di bawah pimpinan PKR di Selangor menjadi kerajaan negeri pertama di negara ini yang disaman kerana tidak menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya.

Keadaan ini berlaku kerana PKR sememangnya parti yang pandai menabur janji. Inilah yang memungkinkan mereka meraih kemenangan agak besar dalam pilihan raya umum lalu. Namun begitu apabila kejayaan sudah dicapai segala-galanya janji hanya tinggal janji.

Pandai bercakap tetapi tiada pengetahuan

l Satu 'kehebatan' pemimpin-pemimpin PKR ialah mahu mempolitikkan segala-galanya. Ia termasuklah juga dalam soal keselamatan negara. Ada pemimpinnya yang tidak ada pengetahuan mahu memberi ulasan, ia akhirnya mendedahkan betapa ceteknya pemikiran beliau dalam sesuatu perkara.

Begitu juga apabila mudah membuat tuduhan dan tohmahan tanpa disertakan dengan bukti kerana apa yang penting ialah memburukkan kerajaan BN.

Demikian beberapa catatan mengenai 'keanehan' politik penuh kepincangan PKR. Namun begitu seperti mana kata penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad, PKR tidak akan bertahan lama.

Katanya, PKR bukanlah sebuah parti yang ditubuhkan atas dasar perjuangan atau bergantung kepada 'grass root' tetapi individu.

''Mereka perlu akui, PKR bergantung kepada Anwar, kalau Anwar tumbang maka berakhirlah riwayat politik PKR.

''Berbanding tahun 2008, kedudukan Anwar kini semakin tergugat. Beliau semakin ditolak oleh rakyat berikutan pelbagai isu yang melumuri diri beliau,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Menurut Ahmad Masrizal, pemimpin-pemimpin pembangkang lain amat mengetahui keadaan itu sebab itulah tiada kesepakatan siapa yang bakal menjadi Perana Menteri jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Apa pun keadaannya adalah jelas, PKR semakin terhakis kehebatan politik putar belitnya. Dari semasa ke semasa kepincangan parti itu semakin terdedah dan inilah akibatnya apabila sebuah parti ditubuhkan semata-mata mahu merebut kuasa

No comments:

Post a Comment