Saturday 16 March 2013

TUN M TIBAI ANWAR????


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melihat keperluan untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mencari dalang di sebalik insiden pencerobohan di Sabah.
“Kita mempunyai kerajaan yang terbuka. Kita boleh siasat siapa dalang di sebalik insiden ini. Semua boleh ditubuhkan,” katanya selepas menyampaikan cek sumbangan sebanyak RM80,000 daripada Perdana Global Peace Foundation (PGPF) kepada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PDRM diwakili Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di sini hari ini.
Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan mencadangkan perlunya kertas putih atau RCI diwujudkan bagi mencari dalang insiden pencerobohan di Sabah.
Hishammuddin juga dilaporkan berkata siasatan menyeluruh perlu dibuat bagi mengenal pasti motif pencerobohan itu termasuk kemungkinan ada pihak yang membiayai militan dari selatan Filipina itu untuk menggugat keamanan dan kedaulatan negara.
Artikel agensi berita Reuters sebelum ini memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata penceroboh datang atas jemputan seorang ahli politik pembangkang Malaysia untuk membincangkan isu tanah.
Akhbar The Manila Times pula dilaporkan mendakwa pencerobohan itu mempunyai kaitan dengan kempen pembangkang Malaysia untuk memberi autonomi kepada Sabah jika mereka menang.
Dr Mahathir turut mempersoal sumber kewangan yang diperoleh penceroboh yang mendakwa mereka mewakili ‘Kesultanan Sulu’ sedangkan kerajaan Filipina memaklumkan mereka bukan golongan berada.
“Secara peribadi saya mahu tahu dari mana mereka mendapat wang sebanyak itu (untuk membeli senjata dan datang ke Sabah). Rakyat pun hendak tahu.
“Saya tidak fikir dia (Jamalul Kiram) orang kaya. Semua operasi itu melibatkan wang yang banyak.
“Jika dia betul-betul bangkrap, macam mana dia boleh memiliki wang itu,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir yang juga Presiden PGPF berkata tuntutan penceroboh kononnya Sabah milik mereka memang tidak berasas kerana Malaysia ialah sebuah negara merdeka yang telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan penduduknya berhak mempertahankan negara ketika diancam musuh.
“Kita mempertahan negara kita, kita mempunyai hak yang sah untuk mempertahankannya. Dalam hal ini kita dapat melihat orang berkorban nyawa dalam mempertahan negara.
“Sebelum ini kita berdepan dengan pemberontakan, kita menghadapi banyak situasi termasuk cubaan menggulingkan kerajaan, tapi kini situasinya berbeza,” katanya.
Beliau berkata kerajaan mengiktiraf kewujudkan orang Sulu di Sabah yang telah pun menjadi rakyat Malaysia sejati dan mereka ini sememangnya menolak idea penceroboh untuk menakluki Sabah.
“Dia tidak patut cuba menuntut negara kita, tapi bila dia menggunakan kekerasan, kita tiada pilihan lagi.
“Orang kita bersedia untuk mati kerana negara dan saya fikir kita perlu menghantar mesej ini kepada semua rakyat Malaysia.
Dalam pada itu Khalid ketika ditemui berkata sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan beban lapan keluarga anggota polis yang terkorban sebelum ini.
“Setiap persatuan telah bersama-sama dengan kita dalam semua krisis termasuk pencerobohan ini.
“Sumbangan ini akan menaikkan semangat kita dan kita sanggup melakukan apa sahaja untuk mengembalikan keamanan di Sabah,” katanya – Bernama

No comments:

Post a Comment