Wednesday, 18 September 2013

KISAH BENAR TENTANG KOMUNIS...

 Sejarah negara kita sedang dipersendakan ke peringkat paling maksimum. Mana boleh ketua Parti Komunis Malaya (PKM) bernama Chin Peng digelar pejuang kemerdekaan?

Saya kenali Chin Peng menerusi namanya sejak saya kecil di Kampung Separap, Simpang Kiri,
 Batu Pahat, Johor. Ayah, Ibu dan guru-guru saya sering menceritakan hal Chin Peng dan PKM kepada saya.

Dari cerita-cerita mereka, saya insaf bahawa Chin Peng adalah pengganas yang perlu disula. Kata Ibu saya, di kampung saya sendiri masih wujud bukti keganasan PKM pada tahun 1945.

Di kampung saya banyak rumah dibakar secara rambang. Di kampung saya ada sekeluarga Melayu di kuburkan hidup-hidup dan beramai-ramai oleh pengganas PKM.

Di kampung saya ada orang yang di sula dan digantungkan ke pohon pedada di pinggir Sungai Simpang Kiri. Di suatu kampung yang kira-kira empat kilometer dari kampung saya, terdapat sejarah penduduknya di humbankan ke dalam minyak yang menggelegak dalam kawah gergasi.

Mereka mati bagaikan katak. Di satu lagi kampung pendalaman kira-kira enam kilometer dari kampung saya, sebuah surau pernah dijadikan pusat pengganas Bintang Tiga (PKM) untuk berpesta meminum arak dan menikmati juadah khinzir panggang.

Di situ juga sekumpulan perawan Melayu pernah dirogol dan diperkosa oleh gerombolan pengganas yang sama. Berikutan seluruh peristiwa di atas, bangkitlah angkatan pemuda parang panjang pimpinan Allahyarham Kiayai Salleh.

Kumpulan ini lebih dikenali sebagai Pejuang Selempang Merah. Mereka bertindak dan berjuang semata-mata untuk memansuhkan kezaliman PKM. Mereka adalah pahlawan yang tidak pernah didendang.

Mereka berjuang demi agama, bangsa dan tanahair. Saya belum pernah berterus-terang sebegini menerusi tulisan di blog ini sebelum ini kerana khuatir dituduh sebagai mengapi-apikan semangat perkauman.

Tetapi, saya pernah suarakan kisah di atas di Dewan Rakyat sehingga membuatkan pihak DAP senyap dan tergamam. Oleh itu, tanpa apologi kepada sesiapa, hari ini saya katakan bahawa saya hilang sabar bila ada individu mengatakan pejuang kemerdekaan negara adalah Chin Peng.

Pastinya luahan suara bangkangan saya ini disetujui oleh penduduk di sekitar Pagoh, Bukit Pasir dan Bukit Kepong, Muar, yang terdapat waris-waris mereka dibunuh oleh PKM yang zalim.

Pastinya orang Pontian juga turut menyimpan kisah seperti ini dalam lipatan sejarah keluarga masing-masing. Begitu juga dengan masyarakat Melayu di Bahau, Negeri Sembilan; di Sekinchan, Selangor; dan di Sungai Manik, Perak. Mereka juga mempunyai sejarah keganasan PKM yang hampir serupa bentuk dan kisahnya.

Beribu-ribu keluarga bekas Polis Khas atau Special Constable (SC), Polis biasa dan Askar Melayu juga pastinya amat arif akan kezaliman PKM.

Beratus-ratus ayah, pakcik, dan anggota keluarga mereka di bunuh anggota PKM sewaktu mempertahankan tanahair di zaman darurat.

Waris-waris askar Melayu yang hilang kaki, hilang tangan dan hilang nyawa akibat bom dan jerangkap samar PKM di Lembah Gubir pun pastinya mengakui bahawa Chin Peng dan PKM bukan pejuang kemerdekaan negara.

Cukuplah setakat ini curahan rasa bangkangan saya terhadap individu yang sedang mempersendakan sejarah perjuangan bangsa kita memerdekakan negara.

Saya harap pihak berkuasa akan segera bersuara dan bertindak untuk membetulkan fakta dan hakikat sejarah yang sebenar-benarnya.

Kredit: perjuangan sejati...

1 comment: