Saturday 14 September 2013

AHLI PAS KENA PENJARA,PEMIMPIN PAS LARI....????

KUALA KANGSAR 13 Sept. - Tiga belas individu termasuk seorang ibu tunggal
masing-masing dihukum penjara dua tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah
Sesyen di sini setelah didapati bersalah menyertai perhimpunan haram di hadapan
Masjid Ubudiah, Bukit Chandan semasa majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak,
lima tahun lalu.

Hakim Norsalha Hamzah yang memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa
hari ini turut mengarahkan tempoh pemenjaraan kesemua tertuduh ditambah lima
bulan lagi jika gagal membayar denda.

Beliau membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal
menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes berkenaan.
"Kes ini melibatkan kepentingan institusi diraja. Hukuman ini sebagai pengajaran
kepada masyarakat dan pada pendapat saya ia satu kesalahan serius," kata beliau.
Ketegasan Norsalha terserlah apabila beliau tidak membenarkan permohonan pihak
pembelaan untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara sementara
menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Kesemua tertuduh termasuk ibu tunggal yang juga bekas pekerja am Masjid
Ubudiah, Suhana Abdullah, 49, dilihat tergamam dan hanya mendiamkan diri
semasa keputusan itu dibacakan ke atas mereka.

Beberapa wanita dipercayai anggota keluarga tertuduh yang berada di galeri awam
juga dilihat menangis sambil bercakap antara satu sama lain.
Sebaik sahaja prosiding selesai, kesemua tertuduh di hantar ke Penjara Tapah dekat
sini.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang berada di
galeri awam semasa permulaan prosiding juga dilihat meninggalkan kompleks
mahkamah sebelum keputusan perbicaraan selesai dibacakan Norsalha.

Selain Suhana, tertuduh-tertuduh lain ialah Bad Latif Mansor, 47, Meor Safizal Meor
Mohamed Amin, 38, Mohd. Faiz Mohd. Arshad, 26, Zulhaizam Zulkifli, 29, dan Isha
Riduan Ishak, 59.

Yang turut didakwa ialah Adi Hilmee Mohd. Nasir, 44, Yusoff Jaafar, 48, Idris Mohd.
Thaib, Nazir Hamid, Mohd. Hasri Ismail, dan Mohamed Ismail, 47.

Kesemua mereka didakwa menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang
iaitu menentang satu proses perundangan upacara pelantikan dan mengangkat
sumpah jawatan Menteri Besar Perak di bawah Perkara XV1(2)(a) Undang-Undang
Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Mereka didakwa telah melakukan kesalahan tersebut selepas solat Jumaat, 6
Februari 2009 di Jalan Istana, Bukit Chandan di sini.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan
(Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau
kedua-duanya.

Kekecohan yang berlaku di Jalan Bukit Chandan, laluan utama ke Istana Iskandariah
itu dilakukan penyokong Pakatan Rakyat dipercayai untuk menghalang kenderaan
orang kenamaan termasuk kereta dinaiki kerabat diraja Perak menghadiri majlis
angkat sumpah Menteri Besar baharu, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang
menggantikan Mohd. Nizar.

Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud mengendalikan pendakwaan manakala kesemua tertuduh diwakili lapan peguam yang diketuai oleh Augustine Anthony.

Keadaan juga menjadi kecoh seketika sebelum dan selepas prosiding kes itu selesai
apabila kira-kira 20 penyokong yang turut hadir melaungkan takbir.

-utusan malaysia-

No comments:

Post a Comment